mutakhir

Istiadat angkat sumpah MB Pahang ditangguh [METROTV]

Oleh T N Alagesh dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

ISTIADAT mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang yang dijadualkan berlangsung di Istana Abu Bakar, di Kuantan pagi ini ditangguhkan selewat-lewatnya sebelum 1 Ramadan.

Istiadat itu pada mulanya dijangka diadakan pada jam 11 pagi hari ini namun ditangguhkan selepas majlis pengurniaan darjah kebesaran negeri Pahang sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menangguhkan istiadat mengangkat sumpah jawatan berkenaan kerana masih memerlukan masa.

Kumpulan media mula menunggu seawal jam 8 pagi di Istana Abu Bakar hari ini dan sedang cuba mendapatkan kenyataan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung penangguhan itu.

Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi majoriti mudah dengan 25 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) sembilan kerusi dan PAS lapan kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang menyaksikannya bakal memegang jawatan itu buat penggal kelima.

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 2:21pm
d