mutakhir

Adik Hakim selamat jalani pemindahan hati

Oleh Muhamaad Razis Ismail

“ALHAMDULILLAH, Hakim kini seperti ‘orang baru’ selepas selamat jalani pembedahan,” kata Norlina Stofar, 33, ibu saudara Muhammad Fakhir Hakim berusia setahun tiga bulan yang selamat menjalani pembedahan pemindahan hati di China, baru-baru ini.

Norlina berkata, dia dan ahli keluarga bersyukur berikutan pemindahan hati Hakim yang menghidap kegagalan fungsi hati atau biliary atresia sejak lahir berjalan lancar.

“Adik Hakim dan ibunya, Noorinie Stofar, 31, berlepas ke Shanghai, China pada 21 Mac lalu untuk jalani pembedahan di sana.

“Namun, mereka perlu tunggu hampir dua minggu akibat komplikasi sehingga pembedahan terpaksa ditangguhkan sementara.

“Alhamdulillah pada 11 April lalu, pembedahan memindahkan sebahagian hati ibunya kepada Hakim dapat dijalankan dengan lancar,” katanya di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, selepas pembedahan itu, keadaan Hakim dan ibunya bertambah baik sebelum mereka dibenarkan pulang ke Malaysia pada 5 Mei lalu.

Katanya, dua beranak itu kemudian menjalani pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dibenarkan pulang ke Kelantan, semalam.

Menurutnya, selepas menjalani pembedahan itu, dia gembira keadaan kesihatan anak saudaranya itu bertambah baik berbanding sebelum ini.

“Dulu sejak lahir dia suka menangis, kurang selera makan, sukar tidur namun kini, Hakim seperti ‘orang baru’ yang dilihat aktif seperti bayi normal lain.

“Selepas ini, setiap dua minggu, Hakim masih perlu menjalani pemeriksaan susulan di PPUM sehingga keadaannya disahkan pulih sepenuhnya,” katanya.

Norlina berkata, ahli keluarga berterima kasih kepada semua pihak termasuk orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu memberi sumbangan untuk pembedahan Hakim.

“Dengan keprihatinan orang ramai terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, media dan bantuan NGO Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial misi mustahil mengumpul dana RM250,000 dalam tempoh empat bulan dapat dilakukan.

“Kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua, hanya Allah SWT mampu membalas jasa anda semua,” katanya.

Akhbar NSTP sebelum ini melaporkan, Muhammad Fakhri Hakim berusia setahun tiga bulan menghidap kegagalan fungsi hati sejak lahir dan memerlukan RM250,000 untuk menjalani pembedahan pemindahan hati di China.

Hasil sumbangan orang ramai, anak bongsu daripada dua beradik itu berjaya menjalani pembedahan di China dan selamat pulang ke Kelantan petang semalam.

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 2:59pm
d