mutakhir

PH Perak tubuh kerajaan

Oleh Shaarani Ismail; Mohd Hafizee Md Arop; Zahratulhayat Mat Arif; Teh Athira Yusof; Farah Suhaidah Othman dan Razif Rosli

PAKATAN Harapan (PH) Perak sah akan membentuk Kerajaan Negeri Perak yang baharu selepas memperoleh majoriti mudah 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia berikutan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) menyokong PH untuk membentuk kerajaan negeri.

Pengerusi PH Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, berikutan sokongan dua ADUN BN itu, PH mempunyi majoriti yang mencukupi untuk menubuhkam kerajaan negeri.

“Saya hari ini ingin memaklumkan bahawa Pakatan Harapan sudah menghadap sembah Sultan Perak (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah), kami menyembah maklum bahawa kita berjaya mendapatkan majoriti yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.

“Insya-Allah kita akan tubuhkan kerajaan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita yang menunggu di luar pagar Istana Kinta selepas menghadap sembah, Sultan Perak di Ipoh hari ini.

Ahmad Faizal berkata, PH juga menjangkakan akan ada lebih ramai ADUN dari BN akan menyertai PH sedikit masa lagi.

“Sekarang ini jumlah keseluruhan adalah 31 dan kita menjangkakan jumlah itu akan bertambah dari hari ke hari,” katanya.

Beliau memaklumkan, majlis angkat sumpah Menteri Besar baharu dijangka akan diadakan pada bila-bila masa terpulang kepada pengesahan dan jemputan dari pihak Istana.

Ahmad Faizal bagaimanapun enggan mendedahkan identiti dua ADUN BN yang melompat parti berkenaan.

Apapun katanya, PH mengharapkan akan dapat menubuhkan kerajaan yang mantap dan menghentikan semua urusan politik buat sementara waktu.

“Kita perlu ke depan bagi memastikan kerajaan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat diteruskan dna dilaksanakan dengan lebih sempurna,” katanya.

Mengenai calon Menteri Besar, Ahmad Faizal berkata, PH menyerahkan perkara itu kepada Majlis Pimpinan Presiden PH untuk mengemukakan senarai nama yang layak kepada Sultan Perak untuk mendapat perkenan.

“Kami tiada masalah apabila berjaya tubuh Kerajaan Persekutuan dan hubungan sesama parti dalam PH juga berjalan dengan baik serta tiada masalah yang tidak diingini setakat ini.

“Jemputan untuk majlis angkat sumpah Menteri Besar hanya akan dibuat oleh pihak istana.

“Sudah pasti calon Menteri Besar akan datang cadangan Majlis Pimpinan Presiden PH dan kami semua Pengerusi Pakatan Harapan Perak bersetuju menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab ke bawah Duli Tuanku Sultan,” katanya.

Pagi tadi, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini memaklumkan kepada pihak media bahawa istiadat angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baharu akan berlangsung di Istana Iskandariah jam 5 petang hari ini.

Berdasarkan maklumat terbaharu petang ini, majlis berkenaan kekal diteruskan di lokasi dan waktu yang ditetapkan.

From: Jalal Ali

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 3:25pm
d