mutakhir

Gadis kelar tangan cuba bunuh diri

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

AKIBAT masalah keluarga, remaja perempuan cuba membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangan kirinya dalam kejadian di jambatan Kampung Kerinting, Gua Musang, malam tadi.

Namun, cubaan remaja, 16, itu yang mengelar pergelangan tangan dengan pisau pemotong sayur pada 11.45 malam berjaya dipujuk oleh anggota bomba.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Awang Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.52 malam sebelum 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kita mendapati remaja itu sedang menjerit dan pergelangan tangan kirinya berdarah kerana dikelar dengan pisau pemotong sayur.

“Remaja itu juga cuba terjun ke dalam sungai, namun dipujuk oleh penduduk kampung dan anggota bomba supaya tidak berbuat demikian.

“Kita mengambil masa selama 10 minit untuk memujuk remaja itu yang kemudian menyerahkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil percakapan, pihaknya mendapati remaja itu mempunyai masalah keluarga.

Katanya, remaja itu kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut sebelum diserahkan kepada polis.

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 4:24pm
d