mutakhir

'Anak tak guna...'

Oleh Mohd Rizal Abdullah

HANYA kerana enggan meminjamkan kereta, seorang lelaki tergamak cuba menyerang bapa tirinya itu menggunakan pisau lipat di rumahnya di Permyjaya, di Miri, pagi semalam.

Bagaimanapun, perbuatan suspek berusia 23 tahun itu memakan diri selepas dia ditahan polis jam 10 malam semalam selepas mangsa berusia 50 tahun membuat laporan polis pada hari sama.

Menurut sumber, kejadian berlaku pada jam 11.30 pagi ketika suspek bersama mangsa di rumah sebelum dia meminta mangsa untuk meminjam keretanya.

Sumber itu berkata, suspek bagaimanapun tiba-tiba 'naik hantu' selepas hasratnya itu tidak diendahkan mangsa.

"Mangsa tidak membenarkan suspek menggunakan kereta kerana suspek tidak mempunyai lesen memandu dan dikhuatiri berlakunya insiden tidak diingini seperti kemalangan.

"Suspek juga terbabit dalam penyalahgunaan dadah menyebabkan bapa tirinya juga khuatir keretanya digunakan untuk aktiviti haram itu," katanya.

Katanya, mangsa terpaksa melarikan diri kerana khuatir dicederakan selepas melihat suspek seolah hilang pertimbangkan dengan mengacukan pisau lipat ke arah mangsa.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis berikutan bimbang dengan keselamatannya," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan penahanan suspek itu

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 5:24pm
d