mutakhir

PM umum Majlis Penasihat Kerajaan

Oleh Wartawan NSTP

TUN Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan yang bertindak menasihati kerajaan mengenai ekonomi dan kewangan ketika proses peralihan kuasa.

Justeru, kata Perdana Menteri, kerajaan melantik lima pakar terkemuka bagi mengisi jawatan dalam majlis itu.

Mereka adalah bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi terkemuka negara, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

“Majlis ini diketuai oleh Tun Daim Zainuddin yang sebelum ini adalah Menteri Kewangan. Bertindak sebagai sekretariat pula ada pakar ekonomi, Dr Muhammad Abdul Khalid, manakala tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin sebagai Ketua Media dan Komunikasi.

“Majlis berkenaan akan membantu kerajaan membentuk dasar dan program bagi mencapai janji 100 hari Pakatan Harapan (PH) untuk ditunaikan kepada rakyat.

“Tempoh jangka masa kewujudan majlis ini adalah 100 hari sahaja,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), hari ini.

Mengulas lanjut peranan lima panel Majlis Penasihat Kerajaan, Perdana Menteri berkata mereka juga akan bertindak membuat kaji selidik sebelum dapatan diserahkan kepada Kabinet.

“Panel terbabit akan meneliti dan mengkaji banyak perkara antaranya membabitkan isu atau pelaksanaan yang berlaku sebelum ini bermula 2009 sehingga sekarang.

“Panel yang juga ‘orang lama’ dan mengetahui selok-belok dalam sektor ekonomi serta kewangan sememangnya berpengalaman. Kerajaan boleh guna kepakaran mereka dalam menyelesaikan isu berbangkit.

“Selepas itu, barulah tindakan segera dalaman dilaksanakan seperti siasatan dan sebagainya,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 5:55pm
d