mutakhir

Patah tulang rusuk dihentak dengan pasu bunga

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI cedera di kepala dan patah tulang rusuk kiri selepas dipukul menggunakan pasu bunga dan batu oleh tiga lelaki dalam kejadian di Jalan Losong, di Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa berusia 51 tahun dan bekerja sendiri turut dipukul dan ditendang di muka dan kepala, selain turut diikat menggunakan dawai besi.

Sumber berkata, ketika kejadian, mangsa berada di luar rumahnya sebelum didatangi tiga lelaki.

Katanya, mangsa kemudian dipukul menggunakan pasu bunga dan batu di kepala selain turut dipukul dan ditendang di muka dan kepala.

"Penderitaan mangsa tidak berakhir di situ apabila suspek yang masih tidak berpuas hati turut mengikat kaki dan tangan mangsa menggunakan dawai besi sebelum beredar meninggalkan mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa dengan ambulans ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.

“Pemeriksaan mengesahkan mangsa patah tulang rusuk kiri dan cedera di kepala," katanya.

Sumber berkata, susulan kejadian itu, isteri mangsa berusia 43 tahun membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, Khamis, lalu untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati mengenai pembayaran pembaikan kereta.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 7:03pm
d