mutakhir

Jawatan tiga menteri belum muktamad - Rafizi

Oleh Siti Nur Mas Erah Amran

NAIB Presiden PKR Rafizi Ramli menyifatkan pengumuman pelantikan tiga portfolio kanan membabitkan jawatan Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri serta Menteri Pertahanan belum muktamad dan masih dalam perbincangan.

Beliau berkata, sebarang keputusan mengenai pelantikan perlu dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini dalam perjalanan ke Hospital Rehabilisasi Cheras untuk berbincang dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang berhubung pelantikan-pelantikan ini.

“Kita yakin proses rundingan yang mengikuti semangat muafakat akan membantu mengukuhkan kerajaan PH.

“Penjelasan ini dibuat kerana saya ditanya mengenai ketiadaan wakil PKR di dalam mesyuarat dan semasa pengumuman pelantikan sebentar tadi," katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam laman rasmi rafiziramli.com, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir menamakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri dan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Tujuh lagi kementerian termasuk Pendidikan, Pembangunan Luar Bandar, Ekonomi, Kerja Raya, Pengangkutan, Multimedia Sains dan Teknologi serta Kementerian Luar akan diumumkan selewat-lewatnya minggu depan.

Dr Mahathir mengumumkan senarai nama berkenaan pada sidang media selepas selesai mengadakan mesyuarat khas berkaitan pembentukan Kabinet, di Wisma Yayasan Selangor.

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 7:37pm
d