mutakhir

Janji tunai kehendak rakyat - MB Perak

Oleh Shamsul Kamal Amarudin; Muhammad Apendy Issahak; Mohd Hafizee Mohd Arop; Teh Athirah Yusof dan Farah Suhaidah Othman

MENTERI Besar Perak baharu Ahmad Faizal Azumu menegaskan beliau bersama wakil rakyat lain yang dipilih akan memastikan kerajaan negeri melaksanakan tugas dengan penuh amanah.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menunjukkan rakyat Perak mahu kerajaan yang efektif, telus, ikhlas dan berwibawa.

“Inilah mesej yang disampaikan rakyat Malaysia secara amnya, dan kami di Pakatan Harapan (PH) tidak memandang rendah kehendak rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya yang diedarkan kepada pihak media selepas mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani watikah sebagai Menteri Besar Perak ke-12 atas perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan PH Perak akan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk memastikan kemakmuran dan kepentingan negeri.

“PH dengan ini mengucapkan setulus terima kasih kepada seluruh rakyat Perak dalam meletakkan kepercayaan mereka dengan memilih kami sebagai wakil kerajaan.

“Kami juga ingin memohon maaf di atas kelewatan membentuk kerajaan negeri. Ia adalah kerana bagi memastikan peralihan kuasa berlaku sebaik mungkin,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baharu di hadapan Sultan Nazrin.

Turut berkenan hadir pada istiadat itu, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Raja Muda Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Dihilir Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim turut berkenan hadir.

Sementara itu, hadir sama adalah bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli.

Berita berkaitan

Ahmad Faizal ganti Zambry

PH Perak tubuh kerajaan

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 9:19pm
d