mutakhir

Pelantikan ikut undang-undang, perlembagaan negeri - Shafie Apdal

Oleh Suzianah Jiffar dan Olivia Miwil

KETUA Menteri Sabah yang baru dilantik Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata proses pelantikannya sebagai Ketua Menteri mengikut peraturan dan Perlembagaan negeri.

Mohd Shafie yang mengangkat sumpah di Istana Negeri, Kota Kinabalu pada 9.15 malam tadi, berkata pelantikannya dibuat selepas Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berpuas hati selepas mendapati beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Kita sudah menghantar kepada TYT (Tuan Yang Terutama) surat mengandungi perakuan daripada ADUN yang menyokong saya, malah TYT memanggil mereka sendiri tanpa kehadiran saya.

“Atas keyakinan TYT bahawa jumlah mencukupi (majoriti), pagi tadi beliau memanggil Musa (Tan Sri Musa Aman) untuk (menasihat) meletak jawatan,” katanya pada sidang media, lewat malam ini.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) berkata, tiada keperluan untuk memanggil persidangan DUN ketika ini bagi menamatkan situasi 'dua Ketua Menteri' ketika ini kerana pelantikannya jelas mengikut undang-undang dan Perlembagaan negeri.

“Beliau (Musa) tidak mampu bertahan untuk terus kekal sebagai Ketua Menteri, satu cara ialah membawa perkara ini ke mahkamah, namun kita boleh melihat apa yang berlaku di Perak (pada 2009),” katanya.

Susulan pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri, ADUN Senallang itu berkata, anggota Kabinet negeri yang baharu akan diumumkan secepat mungkin.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk melantik enam ADUN bagi mengukuhkan pentadbiran kerajaan negeri pimpinannya.

“Apa yang kita laung dan janji dalam kempen (pilihan raya), wakil rakyat kita tidak akan jadi pengerusi badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebab nak mereka fokus khidmat kepada rakyat.

“Sebanyak 61 GLC di Sabah akan diurus tadbir oleh pihak yang kita percaya boleh mengambil tanggungjawab dengan baik dan berkesan,” katanya.

Ketika ini, Sabah berdepan pergolakan politik apabila Pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada Khamis lalu, menafikan beliau meletak jawatan.

Malah, Musa turut mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri yang pertama di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri, tengah hari tadi.

Berita berkaitan

Shafie sah Ketua Menteri, Musa Aman nafi letak jawatan

Shafie Apdal dijangka angkat sumpah malam ini

'Saya masih KM Sabah' - Musa Aman

Musa Aman angkat sumpah KM Sabah

Disiarkan pada: May 13, 2018 @ 12:21am
d