mutakhir

PKR tak boikot mesyuarat Majlis Presiden

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim dan Esther Landau

MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan PKR tidak memboikot mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), semalam bagi memilih barisan anggota Kabinet.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, wakil PKR ketika itu berada di Hospital Rehabilitasi Cheras untuk berjumpa dengan Ketua Umum parti terbabit, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami (wakil PKR) menunggu di hospital dan cuba memujuk Majlis Presiden PH untuk berjumpa di situ, namun mereka berada Yayasan Al-Bukhary. Selepas itu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad datang (ke hospital) dan memberi penerangan kepada Anwar.

"Ini bukan soal boikot, kita mahu Anwar juga boleh memberi pandangannya dan sebab itu, Dr Mahathir datang dan mengadakan perbincangan dengan Anwar," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Rakyat di Gombak, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung ketiadaan pemimpin PKR pada mesyuarat Majlis Presiden PH semalam bagi membincangkan mengenai kedudukan anggota Kabinet.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, proses rundingan berhubung pelantikan menteri Kabinet akan diteruskan secara keseluruhan.

"PKR menyambut baik pertemuan Dr Mahathir dan Anwar semalam dan Anwar juga sudah menyampaikan pandangannya kepada Perdana Menteri untuk memastikan proses perbincangan (senarai anggota Kabinet) akan diteruskan.

"Sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir sudah memberi pandangan dan menerima padangan daripada PH. Nama ini (senarai anggota Kabinet) kelak akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V untuk diperkenankan," katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2018 @ 8:10pm
d