mutakhir

100 hari kerja tanpa rehat

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Penasihat Kerajaan yang baru dilantik dalam mesyuarat pertamanya ada membincangkan mengenai beberapa perkara utama situasi ekonomi semasa antaranya termasuk hutang negara, ringgit, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta subsidi minyak.

Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang mengetuai majlis penasihat itu berkata, ia antara perkara utama dan akan membuat cadangan kepada kerajaan kerana mereka yang membuat keputusan.

Daim berkata majlis itu juga akan memanggil UKAS (Unit Kerjasama Awam Swasta di bawah Jabatan Perdana Menteri), kementerian yang berkaitan dan GLC untuk memberi penjelasan kepada mereka mengenai pelbagai projek mega, dan tadbir urus GLC termasuk Tabung Haji, MARA dan Felda.

“Bagi 1MDB akan terdapat pasukan petugas khas. Saya telah mengenal pasti mereka yang dapat membantu siasatan ke atas 1MDB. Ia akan berada di bawah bidang kuasa majlis yang akan mengemukakan laporan kepada kerajaan,” kata Daim.

Tiga anggota lain majlis itu ialah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, dan Ahli Ekonomi Profesor Jomo Kwame Sundaram.

Bagaimanapun, tokoh perniagaan Robert Kuok tidak hadir kerana berada di luar negara.

Daim berkata satu lagi isu penting yang perlu ditangani dengan cepat ialah lebihan penawaran ruang pejabat dan perumahan.

“Satu lagi contoh ialah kos keselamatan sekolah. Ia lebih tinggi daripada aset yang mereka awasi,” katanya.

Sementara itu, Daim berkata mesyuarat itu akan diadakan setiap hari selama 100 hari dan pada hari tertentu, ia akan diadakan beberapa kali sehari.

“Saya mahu perkara ini diselesaikan dalam masa 100 hari. Selepas itu, saya mahu berehat,” katanya sambil berseloroh.

Daim menegaskan mereka serius dalam melaksanakan tugas dan tidak membuang masa apabila mengadakan mesyuarat pertama sejurus pengumuman penubuhannya oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak wujud tempoh rehat atau kegembiraan berpanjangan selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 berikutan kerajaan berazam untuk memulihkan semula keyakinan rakyat dan pelabur susulan kemenangan yang tidak dijangka oleh Pakatan Harapan pada pilihan raya yang lalu.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 10:59am
d