mutakhir

Mukhriz kembali ke Wisma Darul Aman

Oleh Embun Majid

DATUK Seri Mukhriz Mahathir tiba di Wisma Darul Aman pada hari pertama selaku Menteri Besar selepas mengangkat sumpah jawatan itu, pada Jumaat lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu tiba pada jam 8 pagi dan disambut oleh Pegawai Kewangan Negeri Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Bakar Din.

Beliau kemudiannya menerima kunjungan hormat yang pertama daripada Ketua Polis Kedah Datuk Zainal Abidin Kassim.

Ini kali kedua Mukhriz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah selepas kali pertama ketika bersama BN sejurus parti itu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PAS melalui Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun beliau mengumumkan melepaskan jawatan itu susulan krisis kepemimpinan yang berlaku dalam UMNO Kedah, sebelum digantikan dengan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ADUN Jitra itu telah menerajui PH untuk memenangi 18 dari keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mengalahkan parti pemerintah ketika itu, Barisan Nasional (BN) yang hanya memenangi tiga kerusi, manakala PAS memenangi 15 kerusi.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 11:07am
d