mutakhir

Tengok je pun kena belasah...

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

POLIS memburu sekumpulan lelaki selepas disyaki merusuh dan bergaduh di Plaza Harbour Mall, bandar Sandakan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, seorang remaja lelaki tempatan berusia 18 cedera di mata dan lengan akibat ditumbuk dan ditendang kira-kira 10 individu tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa ke lokasi berkenaan untuk membeli barang, lalu terserempak dengan sepupunya.

"Kemudian, mereka dilaporkan melepak dalam bangunan Harbour Mall sambil memerhatikan sekumpulan lelaki yang turut melepak di situ.

"Secara tiba-tiba seorang lelaki dari kumpulan itu datang ke arah mangsa dan bertanya kenapa mangsa memandang ke arahnya. Suspek turut bertanya sama ada mangsa tidak puas hati dengannya.

"Mangsa tidak menghiraukan suspek lalu terus beredar dari kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Mohd Azhar berkata, ketika mangsa dan sepupunya mahu pulang dan keluar dari pintu bahagian tepi Plaza Harbour Mall, tiba-tiba mereka diserang suspek bersama rakannya kira-kira 10 orang.

"Akibat kejadian, mangsa bengkak di bahagian mata sebelah kiri, cedera di kedua-dua lengan dan jari sebelah kiri. Mangsa kemudian membuat laporan polis dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

"Berdasarkan maklumat awal, suspek dan sekumpulan lelaki terbabit dipercayai berumur lingkungan 17 hingga 20 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 3:30pm
d