mutakhir

PM putuskan siapa pegang jawatan Kabinet

Oleh Wartawan NSTP

TUN Dr Mahathir Mohamad akan memutuskan siapa yang akan memegang jawatan bagi setiap kementerian.

Perdana Menteri berkata, sehingga kini, 10 nama dari PKR dan tiga nama dari parti AMANAH sudah diterima bagi dipertimbangkan untuk jawatan menteri Kabinet.

“Datuk Seri Dr Wan Azizah datang hari ini mengemukakan cadangan 10 nama dari PKR walaupun saya hanya minta tiga nama. Muhammad Sabu sudah serahkan tiga nama dari AMANAH, dia hantar surat kepada saya.

“Pendirian kita parti akan kemukakan nama-nama dan pilihan kementerian.

“Saya akan putuskan siapa pegang jawatan dan kementerian mana, saya akan jumpa pemimpin parti sekali lagi selepas ini,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau turut menerima kunjungan hormat Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, hari ini.

“Saya rasa terhormat kerana baginda ketua kerajaan pertama yang jumpa dengan saya selepas dilantik Perdana Menteri. Baginda ketepikan protokol dan pilih untuk datang jumpa saya,” katanya.

Perdana Menteri berkata, hari ini juga perjumpaan diadakan bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa bagi mengetahui kemajuan arahan yang sudah diberikan.

“Perjumpaan mengenai susunan kerajaan dan tindakan yang perlu diambil kepada beberapa pegawai, ini akan dilakukan secara tersusun dan mengikut undang-undang,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 4:34pm
d