mutakhir

Guan Eng hanya dinamakan... - Tun M

Oleh Wartawan NSTP

TUN Dr Mahathir Mohamad memaklumkan lantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan belum dimuktamadkan sebelum angkat sumpah jawatan dilakukan.

Beliau berkata, kerajaan juga akan dapatkan laporan terlebih dahulu berkaitan kes mahkamah dihadapi Guan Eng sebelum sebarang keputusan pelantikannya sebagai Menteri Kabinet dimuktamadkan.

"Dia (Guan Eng) belum angkat sumpah lagi tapi hanya dinamakan (sebagai Menteri Kewangan.

"Pelantikan menteri mesti dilakukan mengikut undang-undang. Kita tunggu dahulu bagaimana," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya wartawan mengenai kedudukan dan status Guan Eng yang kini berdepan kes mahkamah iaitu isu banglo di Pulau Pinang.

Katanya, beliau perlu memastikan mana-mana menteri yang dilantik kelak adalah layak.

Sebelum ini, tiga pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) dinamakan sebagai menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri; Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan dan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 4:55pm
d