mutakhir

UMNO, BN buka pintu rundingan

Oleh Rohaniza Idris dan Arfa Yunus

NAIB Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu dan Barisan Nasional (BN) bersedia untuk mengadakan sebarang rundingan dengan sesiapa saja bagi pembentukan kerajaan atau bersama sebagai pembangkang.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan mereka belum membuat sebarang perundingan dengan mana-mana parti untuk bergabung atau menjalinkan kerjasama.

“Kita terbuka pada sebarang rundingan dan jika ada perundingan nanti, sebarang keputusan dibuat apabila mendapat persetujuan bersama parti komponen BN dan UMNO,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Kuala Lumpur, hari ini.

Mesyuarat itu adalah yang pertama selepas beliau diberikan tanggungjawab menjalankan tugas Presiden UMNO selepas peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu.

Pada sebelah petang, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan Ketua Bahagian UMNO kemudian mesyuarat dengan semua Ahli Parlimen UMNO.

Beliau turut menegaskan dalam sebarang rundingan kekuatan parti terus digarap dan kepentingan BN serta UMNO terus dijaga.

Beliau juga menafikan mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Rehabilitasi Cheras seperti dilaporkan sebuah blog semalam.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat MT itu merakamkan penghargaan kepada Najib di atas kepimpinan yang baik dan menerima tanggungjawab menjalankan tugas Presiden UMNO dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.

“MT juga mengambil maklum keputusan pilihan raya yang lalu dan menerima hakikat serta bertanggungjawab dengan kekalahan itu.

“Seramai 54 ahli parlimen UMNO daripada 78 ahli BN memenangi pilihan raya kali ini. Di Sarawak semua 19 ahli Parlimen kekal manakala di Sabah semua kekal kecuali seorang daripada parti UPKO keluar parti,“ katanya.

Sementara itu, mesyuarat UMNO cawangan akan mula diadakan pada bulan puasa ini.

Ditanya mengenai pemilihan parti, katanya perkara itu tidak dibincangkan.

Mengenai desakan supaya pemimpin UMNO ditukar dan diberikan pemimpin muda berusia bawah 60 tahun, beliau berkata perkara itu juga tidak dibincangkan.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 5:23pm
d