mutakhir

Nissan Serena lebih sporty

Oleh Lizam Ridzuan

EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), pengedar dan pemasang tunggal kenderaan jenama Nissan di negara melancarkan model serba baharu Nissan Serena 2.0L S-Hybrid di Kuala Lumpur, hari ini.

Pengarah Jualan dan Pemasarannya, Christoper Tan berkata, kenderaan pelbagai guna (MPV) generasi kelima itu juga menerima pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan dan teknologi moden untuk kemudahan keseluruhan penumpang.

“Sehingga hari ini, 1,300 unit tempahan sudah diterima dan dengan rekaan yang lebih sporty, ruang dalaman yang fleksibel termasuk 13 konfigurasi tujuh tempat duduk serta teknologi Nissan Intelligent Mobility (NIM). Kami menjangkakan sambutan positif daripada pelanggan,” katanya pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur, hari ini.

Nissan Serena S-Hybrid mula diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2013 dan Malaysia adalah negara pertama yang memasang model ini selain Jepun.

Ia kini dilengkapi ciri luaran seperti gril hadapan V-Motion, lampu utama dua lapisan dan signatur daripada LED, reka bentuk bumbung ‘terapung’ serta lampu belakang dengan bentuk S yang menawan.

Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium Highway Star dan Highway Star dijual pada harga RM147,500 dan RM135,500 (harga atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 8:54pm
d