mutakhir

Takkan tangguh lagi, Anwar bebas lusa

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

PENANGGUHAN Mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pembebasan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim Rabu ini bukan disebabkan masalah prosedur atau dokumentasi kerana ia sudah dilengkapkan mengikut proses undang-undang.

Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail bagaimanapun menegaskan, tidak akan ada penangguhan lagi selepas ini

“Insya-Allah tak akan ada penangguhan lagi selepas sahaja pembebasan diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V atas nasihat Perdana Menteri, pembebasan Anwar akan dizahirkan.

“Namun saya minta biarlah proses peralihan kuasa ini berjalan dulu. Kita mesti ada proses undang-undang yang menyeluruh sebelum aktif untuk membina semula negara kesan masalah daripada pemerintahan dahulu selama 60 tahun.

“Jadi berilah masa negara melalui proses pemulihan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Anwar yang juga suaminya di Hospital Rehabilitasi Cheras, hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui berkata, semua prosedur dan kertas dokumentasi telah disiapkan oleh pihak Jabatan Peguam Negara.

“Kita berharap perkara ini dapat diselesaikan pada Rabu ini,” katanya ringkas.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam pada itu berkata, satu ceramah ringkas oleh Anwar akan diadakan pada Rabu malam bagi menghargai penyokongnya selama ini.

“Saya difahamkan penyokongnya telah mula tiba dari seluruh negara jadi saya percaya Angkatan Muda Keadilan (AMK) mungkin akan menyusun program yang sesuai untuk penyokong parti.

“Kemuncaknya selepas dibebaskan kita akan susun satu mobilisasi rakyat untuk menyambut pembebasan Anwar termasuk beliau akan memberi ucapan ringkas kepada penyokong-penyokongnya di lokasi awal dikenal pasti di Padang Timur Amcorp Mall Petaling Jaya.

“Sambutan mungkin sama ada petang atau malam Rabu itu kerana malam itu juga umat Islam sudah mula solat Tarawih kerana akan puasa keesokan harinya,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 9:27pm
d