mutakhir

Lapor pemilik akaun FB hina PM [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Ipoh Timur membuat dua laporan polis hari ini, berhubung tindakan beberapa pemilik akaun Facebook dan WhatsApp yang menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Penaja PPBM Bahagian Ipoh Timur, Afzainizam Salleh berkata, laporan dibuat berikutan tidak berpuas hati dengan tindakan pemilik akaun terbabit yang didakwa menghina pemimpin negara itu.

Beliau berkata, dua pemilik akaun Facebook itu memuat naik status memaparkan perkataan kasar dan lucah bagi menghina Dr Mahathir.

Selain itu, katanya, berita palsu iaitu satu mesej bergambar mengatakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dimansuhkan bermula 1 Jun ini dengan menggunakan kepala surat Kementerian Kewangan (MOF) juga turut viral melalui WhatsApp.

“Semua status media sosial mereka terkandung status provokasi yang menghina Perdana Menteri yang dibuat sebelum hari pengundian dan sehingga kini, status itu masih dikongsi ratusan pemilik akaun lain.

“Kami mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap dua pemilik akaun terbabit,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan laporan itu di Balai Polis Pasir Putih, hari ini.

Afzainizam berkata, pihaknya juga meminta semua rakyat yang melihat status menghina Perdana Menteri untuk tampil membuat laporan polis.

“Sebenarnya banyak lagi akaun laman sosial menghina Perdana Menteri, justeru kita meminta rakyat tampil membuat laporan supaya tindakan dapat diambil kepada pelaku berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 11:03pm
d