mutakhir

Terima kasih jiran prihatin

Oleh Fardy Bungga

TINDAKAN pantas jiran berjaya menyelamatkan wanita warga emas daripada rentung dalam kebakaran membabitkan empat rumah di Taman King Lam, Lido, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, api dikatakan mula merebak dari rumah jiran wanita berusia 70-an itu, sebelum disedari penjaganya.

Saksi kejadian dikenali sebagai Lim, 38, berkata, sebaik menyedari bumbung rumah terbakar, penjaga wanita berusia 40-an itu segera keluar meminta pertolongan daripada jiran untuk membawa majikannya keluar daripada rumah.

"Wanita warga emas itu kemudian berjaya dibawa keluar ke tempat selamat tanpa sebarang kecederaan.

"Difahamkan, pemilik rumah yang juga jiran wanita terbabit berada di luar negara sejak 8 Mei lalu dan dikatakan hanya akan pulang pada Sabtu ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 7.01 pagi.

Katanya, sepasukan 43 anggota termasuk pegawai dan lima jentera dikerah ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan kecemasan memadamkan kebakaran.

"Kebakaran awal membabitkan dua rumah, namun sebaik pasukan bomba tiba, api sudah merebak ke rumah jiran yang dihuni wanita warga emas.

"Operasi pemadaman segera dilakukan sebelum api berjaya dikawal pada 7.43 pagi. Operasi tamat sepenuhnya pada 8.56 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Jabatan Forensik Bomba.

Disiarkan pada: May 15, 2018 @ 2:03pm
d