mutakhir

Wanita didakwa dera anak perempuan rakan

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

WANITA dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mendera anak perempuan rakannya, Disember tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 28 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja didakwa dengan sengaja melakukan penderaan kepada kanak-kanak yang berusia empat tahun satu bulan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dengan kesan parut pada muka, badan, kaki, tangan dan kepala.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Kuchai Jaya, Brickfields, Kuala Lumpur, pada jam 5.30 petang, 12 Disember 2017.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamaluddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kamarul Aris tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh namun tertuduh memohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin.

Mahkamah kemudian membenarkan wanita itu diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis berhampiran, dua kali sebulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Jun ini.

Disiarkan pada: May 15, 2018 @ 4:07pm
d