mutakhir

'Masuk gambar saya dalam paper boh'

Oleh Fitri Nizam

TAUKE kedai tayar tanpa segan silu meminta wajahnya dipaparkan di akhbar selepas mengaku bersalah kerana menyebabkan kecederaan kepada jirannya akibat salah faham.

Tertuduh, Marzuki Abd Rahman, 48, sebelum itu mengaku bersalah mencederakan jirannya, Baharuddin Ngah, 56, di hadapan rumah mereka dekat Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus pada 3 Februari lalu.

Sebaik mendengar pengakuan tertuduh, Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 terhadapnya dan jika gagal berbuat demikian tertuduh boleh dipenjarakan selama sebulan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu dikatakan menegur tertuduh kerana didakwa hampir melanggarnya ketika sedang meletakkan Toyota Hilux pada 5.30 petang, hari kejadian.

Tindakan itu menyebabkan, kedua-dua mereka bertengkar sebelum tertuduh memukul pengadu beberapa kali di bahagian muka hingga mendatangkan kecederaan di muka dan dahi pengadu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tidak lebih setahun atau denda kurang RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pendakwa Raya Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh diwakili oleh Peguam Che Muhammad Amir dari Che Muhammad Amir dan Mohd Hayyatuddin and Co.

Disiarkan pada: May 15, 2018 @ 6:12pm
d