mutakhir

Bekas juruteknik edar dadah dihukum gantung [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

MAHKAMAH Tinggi Kuantan, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap bekas juruteknik kerana didapati bersalah mengedar dadah, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Mohd Moriff Zulkarnaim, 30, selepas didakwa mengedar dadah jenis methamphetamin seberat 61.21 gram pada 1 November 2016.

Mengikut pertuduhan, tertuduh ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang pada 11.30 pagi di dalam rumah beralamat di Lorong Sekilau 31, Kuantan.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu ditahan bersama beg kain di bahagian dapur rumah.

Pemeriksaan turut menemui tujuh peket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah serta kad pengenalan dan lesen memandu tertuduh.

Tertuduh kemudian didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Mariana dalan penghakimannya memaklumkan keterangan yang diberi tertuduh dalam prosiding kehakiman sebelum ini adalah bersifat penafian dan meragukan.

Malah, beliau turut mendapati pihak pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Katanya, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Muhd Asyraf Md Kamal berjaya membuktikan terdapat kes yang melangkaui keraguan munasabah.

Tertuduh yang memakai pakaian serba putih kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan hakim.

Beliau yang diwakili peguam Masliela Ismail kemudian membuat rayuan supaya hukumannya diringankan kerana perlu menjaga ibunya yang sudah tua.

Disiarkan pada: May 16, 2018 @ 1:18pm
d