mutakhir

[UPDATE] Tak puas hati ditegur punya pasal [METROTV]

Oleh Mohd Hasbi Sidek

SEKUMPULAN remaja tergamak membakar hampir 100 motosikal yang diparkir di bawah Blok F, Pangsapuri Angsana, Taman Subang Mewah, USJ 1, Subang Jaya, awal pagi tadi, hanya kerana tidak berpuas hati ditegur penduduk.

Kejadian 2.30 pagi itu menyebabkan kerosakan pada beberapa kemudahan flat berkenaan selain premis perniagaan turut terjejas ekoran bahang api yang merosakkan dinding serta siling.

Ketua Cawangan Siasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Cawangan Zon Petaling Jaya, Abdul Halim Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan 2.59 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang dan Petaling Jaya seramai 26 keanggotaan bergegas ke lokasi.

"Pihak kami berjaya mengawal kebakaran, namun lebih 90 motosikal hangus dijilat api. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya menahan lima kanak-kanak dan remaja berusia 11 hingga 15 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

"Deretan motosikal yang diletakkan di bawah blok F di flat berkenaan dibakar menyebabkan hampir 100 motosikal hangus selain turut menyebabkan beberapa struktur dan kemudahan lain di tingkat bawah musnah.

"Berdasarkan maklumat, suspek berusia 11 hingga 15 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan akan direman pagi ini. Punca kejadian disebabkan suspek tidak puas hati dengan penduduk yang sering menegur suspek membuat bising di bawah blok," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kejadian turut menyebabkan bekalan elektrik dan air terputus serta lif tidak dapat berfungsi.

Suspek dipercayai membakar motosikal menggunakan petrol selepas pihak forensik polis dan JBPM menemui satu botol plastik yang mempunyai kesan petrol di bawah sebuah kereta berhampiran lokasi kejadian.

Berita berkaitan:

100 motosikal kena bakar [METROTV]

Disiarkan pada: May 16, 2018 @ 2:11pm
d