mutakhir

Rampas ketum RM50,000

Oleh Siti Rohana Idris

SEBANYAK 1,000 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai RM50,000 dirampas dalam dua rampasan berasingan di Tanah Merah, semalam.

Rampasan dibuat pada 3 petang oleh pasukan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dan tiga lelaki berusia antara 22 hingga 34 tahun ditahan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata dalam rampasan pertama di simpang tiga Jalan Panglima Bayu, pihak berkuasa menahan kereta Mercedes Benz yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, anggota AKSEM menahan kereta dinaiki dua lelaki namun pemandunya terus memecut dan menghimpit kenderaan pihak berkuasa.

“Anggota AKSEM terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang kereta Mercedes Benz itu supaya berhenti.

“Pemeriksaan di dalam but kereta menemui 300kg daun hijau disyaki ketum dengan anggaran harga nilaian semasa RM15,000,” katanya pada sidang media di markas Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, hari ini.

Dua suspek yang berusia 26 dan 34 tahun itu masing-masing memiliki empat dan tiga rekod lampau berkaitan dadah.

Sementara itu, dalam rampasan kedua pula iaitu di lokasi lampu isyarat Batu 11, Bukit Bunga, pasukan AKSEM menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima.

Hasanuddin berkata, kenderaan itu dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun berasal dari Pasir Puteh.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu mendapati kira-kira 700kg daun hijau disyaki ketum dimuatkan dengan anggaran nilai RM35,000.

“Suspek tidak memiliki rekod lampau dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, daun ketum itu dipercayai dibawa masuk dari Kedah untuk pasaran di negeri ini.

Disiarkan pada: May 16, 2018 @ 8:12pm
d