mutakhir

Sasar 100,000 pengunjung Iftar@KL 2018

Oleh Syanty Octavia Amry

* Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menyasarkan 100,000 pengunjung bakal memeriahkan program Iftar@KL 2018 sepanjang Ramadan ini.

Pengarah Bahagian Pembangunan Produksi & Artistik JKKN, Rosnan Nordin, berkata program itu yang akan berlangsung di Jalan Raja di sini (berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad), adalah tahun keenam selepas diperkenalkan pada 2012.

“Tahun ini, kami akan mengadakannya sebanyak enam kali pada setiap Sabtu dan Ahad bermula 26 dan 27 Mei, diikuti 2, 3, 9 dan 10 Jun depan.

“Kami menyasarkan lebih ramai pengunjung hadir, terutama pelancong dari seluruh negara seperti tahun sebelum ini, selain Asia Barat, negara ASEAN, Korea Selatan, China, Jepun, Sepanyol, Itali, Jerman, Belanda, Amerika Syarikat dan Perancis.

“Tidak kurang juga yang datang dari Brunei, Thailand, Singapura, Indonesia, Kazakhstan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kanada,” katanya pada majlis pelancaran program Iftar@KL 2018 di sini, semalam.

Rosnan berkata, pemilihan lokasi program turut dikekalkan bagi memberi peluang orang ramai berbuka puasa sambil menikmati keindahan ibu kota.

“Kami melihat ramai yang menyukai lokasi ini yang lebih santai dan mesra untuk semua,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran program itu bertujuan menjadikan Ramadan bulan penuh dengan kegiatan kerohanian dan kesenian Islam, sekali gus dapat disemarakkan dalam kalangan masyarakat, terutama generasi muda.

Selain itu, katanya, ia juga bagi memupuk nilai murni melalui aktiviti yang diadakan.

“Kami berusaha membawa Iftar@KL 2018 sebagai program pelancongan islamik dan platform menjadikan Kuala Lumpur Pusat Seni dan Budaya pada peringkat antarabangsa.

“Di samping itu, kami mahu mengimarahkan Ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan melalui amalan kebajikan, selain mengeratkan silaturahim masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Antara pengisian Iftar@KL 2018 ialah penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, pameran bubur lambuk, produk pakej umrah, tadarus al-Quran dan klinik tahsin al-Quran.

Tidak ketinggalan, jualan trak makanan, kaunter zakat, Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC), kaunter sumbangan, majlis berbuka puasa (iftar), solat berjemaah (maghrib, isyak dan tarawih), bicara Ramadan dan moreh.

Pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan kumpulan nasyid terkenal tanah air, iaitu Hijjaz, UNIC dan Raihan.

Penceramah terkenal akan turut dijemput memeriahkan program, antara lain Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood, Datuk Kazim Elias, Datuk Badlishah Alauddin dan Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Disiarkan pada: May 16, 2018 @ 9:31pm
d