mutakhir

Tali pusat berikat reben

Oleh Nur Saliawati Salberi

Jasin: Seorang bayi lelaki ditemui masih hidup dalam keadaan berbalut dengan kain di dalam kotak di Masjid Ar-Rahman Parit Gantung, Sungai Rambai di sini, semalam.

Bayi dipercayai baru dilahirkan itu ditemui seorang jemaah wanita yang hendak menunaikan solat Subuh sebelum memaklumkan perkara itu kepada bilal yang bertugas, jam 5.45 pagi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati bayi yang cukup sifat itu ditinggalkan di ruang masjid bersama botol dan bungkusan susu tepung.

Beliau berkata, bayi yang tidak berpakaian dan hanya dibalut kain berwarna gelap itu dibawa pulang ke rumah bilal untuk dibersihkan sebelum dibawa ke Balai Polis Sungai Rambai dan dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan mendapati bayi dipercayai berbangsa Melayu ini berada dalam keadaan sihat dan berusia antara satu hingga tiga hari.

“Selain itu, tali pusatnya juga dipotong dan diikat menggunakan reben. Bayi ini dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut, selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut dimaklumkan,” katanya.

Katanya, pasukan forensik menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian untuk mengenal pasti individu bertanggungjawab meninggalkan bayi terbabit.

“Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kelibat individu yang mencurigakan berada berhampiran kawasan masjid awal pagi tadi (semalam) supaya tampil memberikan maklumat.

“Masjid ini hanya dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian dalam.

“Bagaimanapun, usaha mengesan individu yang bertanggungjawab meninggalkan bayi ini giat dijalankan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 9:02am
d