mutakhir

Melecur disambar api

Oleh Recqueal Raimi

LELAKI melecur di bahagian belakang badan ketika cuba menyelamatkan sebuah lori dan motosikal daripada turut musnah dijilat api dalam kebakaran yang meranapkan sebuah rumah di Kampung Pangasaan, Tamparuli, di Tuaran, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, mangsa, Bernard Gaban, 62, bagaimanapun gagal memindahkan kedua-dua kenderaan berkenaan berikutan keadaan api yang semakin marak dan turut menyambar bahagian belakangnya.

Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Harry, 41, berkata, kebakaran itu disedari mangsa bermula dari bahagian stor di belakang rumah.

"Ketika kejadian, seluruh kampung dan kawasan sekitar tiada bekalan elektrik. Mangsa menggunakan janakuasa sendiri (generator) untuk menghidupkan lampu di rumah mereka.

"Bagaimanapun, tidak lama kemudian rumah berkenaan terbakar dan penghuninya hanya sempat memindahkan sebuah kereta Perodua Kembara manakala dua lagi kenderaan serta dokumen penting gagal diselamatkan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurut Harry, mangsa dan isteri serta anak perempuannya kini tinggal sementara di rumah saudara mereka di lokasi berhampiran.

"Api marak dengan cepat dan saya hanya mampu menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan memadam kebakaran," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Qawie Gapar, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 malam, 16 anggota dengan sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati rumah jenis kekal satu tingkat sudah musnah sama sekali. Hasil pemeriksaan mendapati semua mangsa berjaya menyelamatkan diri namun seorang mangsa lelaki melecur di bahagian belakang badan dan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Tuaran," katanya.

Qawie berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Operasi pemadaman ditamatkan pada jam 10.45 malam,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 11:41am
d