mutakhir

Keadilan buat keluarga Yaacob [METROTV]

Oleh Avila Geraldine

‘BOUNCER' kelab malam dihukum gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini mendapati lelaki itu bersalah membunuh remaja Yaacob Nasran, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu selepas berpuas hati apabila pihak pendakwaaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan terhadap tertuduh Mohd Azmin Lidin, 30.

“Dalam hal ini, tiada keraguan munasabah bahawa tertuduh bersalah atas kesalahan dikenakan. Cuma satu hukuman disediakan dalam undang-undang untuk kesalahan ini iaitu hukuman mati,” katanya.

Azmin yang memakai baju berwarna biru dan seluar celoreng kelihatan tenang serta tersenyum dalam kandang tertuduh ketika hukuman terhadapnya dibacakan.

Yaacob berusia 18 tahun ketika dibunuh di luar sebuah pusat hiburan di Kota Kinabalu pada 15 Disember 2016.

Turut hadir di mahkamah untuk sama-sama mendengar keputusan kes itu ialah keluarga Yaacob termasuk ibu bapanya, Nasran Harun @ Nigel dan Kee Faridah Kassim.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Seri Rakhbir Singh, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun.

Di luar mahkamah, keluarga Yaacob dilihat saling berpelukan dan menangis sebelum Nasran didengar berkata,“Saya mahu lihat wajah dia (Azmin) untuk kali terakhir.”

Azmin yang dibawa keluar dari bilik mahkamah turut dilihat berhenti dan bercakap kepada keluarga Yaacob,“Bukan saya yang bunuh anak kamu. Kamu tersalah orang.”

Keluarga Azmin juga dilihat menangis dan memeluknya sebelum dibawa oleh polis.

Sementara itu, ketika ditemui Nasran mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong keluarganya dan menyifatkan keadilan sudah dituntut.

“Jika seseorang membunuh anak yang tidak bersalah tanpa sebab dan tidak digantung, ia menunjukkan kurangnya nilai keadilan untuk melindungi masa depan anak kita,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 12:55pm
d