mutakhir

Berhabis duit demi ayam serama

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

MINAT terhadap keunikan ayam serama sudah tersemai sejak di bangku sekolah, namun disebabkan kekangan kewangan ketika itu, Roslan Mohamad, 34, hanya mampu memelihara ayam katik.

Selepas mula bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, impian Roslan untuk memiliki ayam serama tercapai.

Roslan berkata, disebabkan terlalu meminati ayam serama, dia sudah membelanja wang lebih RM10,000 hanya untuk membeli unggas berkenaan daripada baka yang baik demi kepuasan dirinya.

"Ayam serama sangat manja dan jinak. Mana ada ayam sejinak ini. Saya mula memelihara haiwan ini sejak enam tahun lalu dan kini memiliki 70 hingga 80 ekor serama yang dipelihara di kawasan rumah.

"Ada sebahagian ayam serama yang dipelihara turut dijual kepada individu yang berminat, malah sebelum ini saya pernah dikunjungi individu dari Arab yang datang ke rumah untuk melihat dan membeli haiwan ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ayah kepada dua anak ini berkata, setiap kali menyertai pertandingan, dia perlu memilih ayam yang mempunyai potensi terbaik pada hari pertandingan kerana persembahan ayam di hadapan pengadil perlu diambil kira.

"Penjagaan ayam serama tidak begitu susah kerana haiwan ini menjadi binatang peliharaan kesayangan kami sekeluarga disebabkan ia begitu cantik serta jinak.

"Justeru, tidak hairanlah jika ayam serama menjadi pilihan ramai kerana selain daripada kecantikannya, unggas ini juga mempunyai harga tinggi jika dijual di pasaran.

"Saya pernah menerima tawaran daripada seorang individu yang mahu membeli serama jantan dengan harga RM5,000 tetapi saya enggan menjual kerana serama yang diberi nama ‘Sky War’™ ini pernah menjuarai beberapa pertandingan yang diadakan selain terlalu sayangkannya.

Katanya, ayam serama mempunyai nilai komersial untuk dipertandingkan kerana mempunyai perwatakan menarik serta bentuk fizikal unik. Antara cirinya termasuklah dada lebih menonjol seperti seorang ratu atau raja.

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 1:50pm
d