mutakhir

Laki bini edar dadah

Oleh Omar Osman

DUA pasangan suami isteri antara lima yang ditahan polis kerana terbabit kegiatan mengedar dadah dalam tiga serbuan berasingan membabitkan rampasan dadah RM175,000 dan sitaan RM130,164 di Gurun, kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Sik di sekitar Taman Ria Mesra, Gurun selepas menerima aduan orang awam mengenai kegiatan mengedar dadah di kawasan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Superintendan Helmi Aris berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah pada 7.15 pagi dan polis menahan suami isteri berusia 41 dan 34 tahun bersama satu beg hitam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui 12 paket plastik berisi dadah jenis heroin seberat 5.42 kilogram (kg) serta 670 gram (gram) syabu di dalam beg itu dianggarkan bernilai RM172,500.

“Polis turut merampas wang tunai RM11,150 dan menyita dua kereta Honda Accord serta Honda Odyssey bernilai RM100,000.

“Ujian saringan air kencing mendapati pasangan itu positif morfin dan methaphetamin selain suspek lelaki mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda, Sungai Petani, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam.

Helmi berkata, dalam serbuan kedua di sebuah rumah di taman sama pada 8.30 pagi, polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun dan merampas heroin seberat 22g bernilai RM800 dan wang tunai berjumlah RM414.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif morfin.

“Dalam serbuan ketiga pula, polis menahan pasangan suami isteri berusia 20 dan 21 yang baru tiga bulan berkahwin serta merampas sejumlah dadah jenis syabu bernilai RM1,700 serta wang tunai RM2,600,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita dua motosikal Yamaha LC135 dan RXZ bernilai RM16,000.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif morfin dan memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah.

“Kelima-lima suspek direman selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 23 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 8:27pm
d