mutakhir

Baru 'setahun jagung', dah 20 kes curi motor

Oleh Ahmad Othman

POLIS Kota Tinggi berjaya menyelesaikan 20 kes kecurian motosikal di daerah ini dengan tertangkapnya tiga remaja dalam Ops Lejang Makam yang diadakan sejak awal bulan ini.

Daripada jumlah itu, motosikal dileraikan di bawah sebuah jambatan sebelum kerangkanya dikuburkan ke dasar sungai berhampiran dipercayai untuk melupuskan bukti.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah berkata, operasi dijalankan anggota Task Force Lejang membabitkan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Katanya, pada 4 Mei, pasukan diketuai Inspektor P Devendiran membuat serbuan di sebuah kedai cuci kereta di Kampung Makam.

“Dalam serbuan itu, polis menangkap seorang remaja lelaki disyaki terbabit kegiatan curi motosikal dan turut merampas motosikal Honda EX5 yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Hasil siasatan, suspek mendedahkan beberapa maklumat kecurian motosikal dan pada hari sama, dipandu arah suspek, polis menahan dua lagi suspek.

“Polis turut merampas tiga motosikal yang pernah dilaporkan hilang di kawasan Kota Tinggi,” katanya.

Ashmon berkata, siasatan berterusan terhadap tiga suspek berusia 17 hingga 18 tahun itu membawa kepada penemuan lapan rangka motosikal yang dihumban ke dasar sungai berhampiran jambatan Jalan Kota Tinggi ke Johor Bahru.

Beliau berkata, semua rangka motosikal dibuang ke dalam sungai setelah komponen motosikal dileraikan untuk digunakan sebagai alat ganti atau dijual.

“Semua motosikal dikeluarkan dari sungai dengan bantuan pasukan penyelam dari Pasukan Polis Marin Tampoi, Johor Bahru.

“Nilai rampasan motosikal dianggarkan RM48,000 dan hasil penahanan tiga suspek itu kita percaya dapat menyelesaikan 20 kes kecurian motosikal.

“Semua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau dan pernah didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak atas kesalahan jenayah dan narkotik,” katanya..

Ashmon berkata, semua suspek direman sehingga 17 Mei mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kenderaan.

Beliau berkata, pihaknya amat mengalu-alukan maklumat dan kerjasama orang ramai dalam membantu pihak polis membanteras jenayah di daerah Kota Tinggi.

Disiarkan pada: May 18, 2018 @ 1:41am
d