mutakhir

LTAT tarik balik saman fitnah terhadap Rafizi

Oleh Murni Wan Omar

LEMBAGA Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sudah menarik balik saman fitnah terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berhubung isu bayaran gratuiti pesara tentera.

Perkara itu disahkan oleh peguam Saiful Izham Ramli yang mewakili Rafizi ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, kedua-dua pihak bersetuju merekodkan persetujuan itu tanpa sebarang perintah berhubung kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman berkenaan.

Beliau juga mengesahkan bahawa persetujuan itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, semalam.

Peguam Izzat Othman dan Ahmad Syateer Izzat hadir bagi mewakili LTAT.

Pada 6 Mei 2016, LTAT memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi dengan mendakwa beliau ada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap mereka.

Rafizi didakwa mengeluarkan kenyataan bertajuk 'Bayaran Gratuiti Pesara Angkatan Tentera Lewat: LTAT Perlu Dedahkan Risiko Kewangan Akibat 1MDB’ pada 21 Mac 2016.

LTAT juga mendakwa Rafizi ada mengeluarkan kenyataan melalui laman web Malaysiakini yang bertajuk 'Rafizi: I have the document showing LTAT's link to 1MDB'.

Seterusnya, LTAT mendakwa Rafizi mengulangi tuduhan sama di laman Facebooknya bertajuk 'Laporan Ketua Audit Negara Ke Atas 1MDB Mengesahkan 1MDB Kesan Masalah Kewangan 1MDB Ke Atas LTAT', pada 28 Mac 2016.

Plaintif mendakwa, kenyataan oleh Rafizi secara semula jadi bermaksud LTAT langsung tidak menjaga faedah dan kebajikan pesara tentera dengan menuduhnya terdapat kelewatan sehingga enam bulan untuk membayar caruman atau gratuiti kepada pesara.

Oleh itu, LTAT menuntut ganti rugi am dan teladan daripada Rafizi selain injunksi untuk menghalang atau mencegah defendan, pegawai, ejen atau pekerjanya daripada terus menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah berkenaan.

Berita berkaitan

Rafizi direman tiga hari

Disiarkan pada: May 18, 2018 @ 11:59am
d