mutakhir

Berpantang maut sebelum ajal

Oleh Mohd Hilmie Hussin

PEMANDU lori nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya merempuh pokok di Jalan Bachang, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), malam tadi.

Dalam kejadian 8.15 malam itu, lori syarikat penyelenggaraan pendingin hawa dipandu Lee Ming Jeng, 30, dipercayai hilang kawalan, sebelum terbabas dan merempuh pokok di bahu kiri jalan.

Difahamkan, lori satu tan membawa muatan perkakasan penyelenggaraan itu dipandu laju, selain lampu kenderaan tidak dibuka.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Pegawai Bomba Kanan II Azlan Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan 8.28 malam, sebelum sepasukan anggota bersama sebuah jentera, sebuah jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan dua motosikal dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Ketika cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit, kita lihat ada percikan darah pada mukanya, bagaimanapun beliau berada dalam keadaan stabil.

“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota kita dalam tempoh kira-kira 20 minit dengan menggunakan alat peregang dan pemotong,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Azlan berkata, mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius walaupun kaki kirinya tersepit di bawah papan pemuka bahagian pemandu.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut,”katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2018 @ 12:14pm
d