mutakhir

[UPDATE] 'Mujur saya pakai helmet' [METROTV]

Oleh Zahratulhayat Mat Arif

“SAYA bernasib baik kerana masih memakai helmet (topi keledar) ketika berada di atas jalan kampung, jika tidak saya tidak mungkin dapat menikmati hari kedua Ramadan," kata Redhuan Embi, 32.

Guru Pendidikan Agama Islam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Rungkup itu antara mangsa serangan lelaki bersenjatakan parang yang mengamuk di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, dekat Rungkup di Bagan Datuk, semalam.

Katanya, topi keledar dipakai menyelamatkan kepalanya daripada cedera ditetak, namun bahagian pipi kanannya terpaksa menerima sekurang-kurangnya 60 jahitan akibat serangan suspek.

Mengimbau kembali kejadian itu, Redhuan berkata dia sedang menaiki motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Saya selalunya akan membuka helmet apabila masuk jalan kampung tetapi pada hari kejadian saya rasa macam tak sedap hati.

"Kemudian saya bertembung dengan suspek yang sedang berjalan kaki dan biasanya bila jumpa orang kampung, saya angkat tangan tetapi saya tak nampak dia pegang parang ketika itu.

"Saya fikir suspek nak ke kebun tetapi selepas saya angkat tangan, dia terus melibas muka saya menyebabkan saya jatuh dari motor.

"Tanpa berlengah, saya cepat-cepat lari dan apabila menoleh ke belakang, suspek seperti mahu mengejar saya.

"Pada ketika itu juga darah banyak keluar dari pipi dan kemudian saya terjatuh ketika melarikan diri.

"Sekumpulan anggota polis yang melalui kawasan itu untuk menangkap suspek kemudian membantu saya. Saya kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Batang untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di rumah ibu mentuanya di Kampung Bahagia, Teluk Intan, hari ini.

Redhuan berkata, dia tidak dapat menggambarkan nasibnya jika menanggalkan topi keledar ketika itu.

"Saya kenal keluarga suspek tetapi kami tidak begitu rapat. Sejak kejadian itu saya fobia untuk pulang ke rumah," katanya yang kini mendapat cuti sakit selama seminggu.

Berita berkaitan

Sampai hati kau, sahabat...

[UPDATE] Suspek positif dadah rupanya...

'Suspek bunuh tiga beradik direman' [METROTV]

[UPDATE] Suspek tiada rekod sakit mental

'30 minit kemudian jeritan terhenti...' [METROTV]

Tragedi 1 Ramadan

Disiarkan pada: May 18, 2018 @ 3:31pm
d