mutakhir

Dua sahabat terlepas hukuman mati

Oleh BERNAMA

RAMADAN dan Aidilfitri yang bakal menjelang pasti amat bererti buat dua sahabat selepas mereka dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh lelaki warga Filipina oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Datuk Ghazali Cha memutuskan untuk membebaskan Saffry Affendy, 41, dan Mukhlis Bakar, 44, selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Saffry, bekas anggota polis dan Mukhlis, buruh kontrak diwakili peguam Mohd Fadhly Yaacob, sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahathir Mohd Khairudin.

Dalam penghakimannya, Ghazali antara lain menyentuh mengenai keraguan terhadap identiti si mati iaitu terdapat dua identiti membabitkan mayat yang sama.

Berdasarkan keterangan seorang daripada saksi, salah satu identiti itu adalah milik seorang lelaki yang masih hidup di Sabah serta mengalami sakit mental.

Perkara itu disahkan oleh pegawai penyiasat yang mengambil keterangan daripada adik individu terbabit.

Selain itu, mahkamah juga mendapati kegagalan mengemukakan beberapa saksi material seperti adik individu yang dikatakan mempunyai identiti sama dengan si mati, turut menjejaskan kes pihak pendakwaan.

Sebanyak 14 saksi pihak pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula tahun lalu.

Saffry dan Mukhlis didakwa bersama-sama membunuh Hakim Asamad di Lot 1354, Off Jalan Sungai Jati, Jalan Kampung Jawa, Klang pada 12.30 tengah malam, 25 Ogos 2014.

Mayat mangsa yang ditetak di bahagian leher ditemukan di tempat pembuangan sampah di Klang.

Dua sahabat itu yang ditangkap pada 10 Sept 2014, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: May 18, 2018 @ 4:04pm
d