mutakhir

'Kami trauma lihat rumah tu...'

Oleh Muhammad Apendy Issahak

“KALAU nak bakar rumah tu... bakarlah, saya dah tak sanggup nak tinggal dan tengok rumah tu lagi,” kata Mohd Fadzil Mohammad, 32.

Mohd Fadzil, bapa kepada tiga beradik yang maut dalam tragedi amuk 1 Ramadan semalam berkata, dia tidak mampu untuk melihat barangan anak-anaknya terutama barang permainan.

Katanya, dia tidak sangka rumah idaman hasil Program Perumahan Rakyat (PPR) yang baru didiaminya sekeluarga kurang sebulan menjadi lokasi berlaku sejarah hitam yang tidak akan dilupakannya.

“Saya trauma untuk melihat lagi rumah itu, saya pasti anak sulung dan terutama isteri Zuraidah Md Ali, 35, juga tidak mampu lagi tinggal di rumah berkenaan kerana dia menyaksikan tragedi itu sendiri.

“Justeru, saya buat keputusan untuk membawa isteri serta anak (sulung) pulang dan tinggal di kampung halaman saya di Ulu Dedap, Seberang Perak untuk sementara waktu bagi memulihkan semangat kami,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, hari ini.

Mohd Fadzil berkata, ketiga-tiga jenazah anaknya akan dikebumikan di kampungnya, hari ini selepas selesai proses bedah siasat.

“Isteri yang kini menjalani pembedahan susulan pergelangan tangan hampir putus di Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberitahu melalui kakak ipar saya yang menemaninya mahu ketiga-tiga arwah anak kami dikebumikan di Kampung Sungai Haji Muhamad, Bagan Datuk.

“Tetapi saya bersama ahli keluarga yang lain sudah berbincang dan memikirkan apa yang terbaik adalah kebumikan arwah anak di Ulu Dedap agar kami tidak mudah terkenang kejadian yang berlaku, selain dapat memberi ruang untuk kami pulihkan semangat,” katanya.

Mohd Fadzil yang masih kelihatan lemah susulan tragedi ngeri itu bagaimanapun enggan bercerita lanjut berhubung kejadian menimpa keluarganya.

Dia bersama beberapa ahli keluarga dan rakan berada di HRPB sejak 9 pagi tadi bagi menuntut jenazah ketiga-tiga anaknya, dan setakat 3.30 petang dua mangsa sudah selesai dibedah siasat dan hanya tinggal jenazah anak bongsunya.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, ketiga-tiga anaknya, Nurziah Fasihah, 2, Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Muhammad Faqhqih Zahirul Haq, 5, maut akibat ditetak suspek, manakala Zuraidah pula parah.

Suspek kemudian pergi ke Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad sebelum mencederakan pula seorang lagi anak sulung pasangan itu, Nur Zurin Faziera, 9, serta dua lagi penduduk kampung termasuk seorang rakan sekolah Nur Zurin.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Mujur saya pakai helmet'

[UPDATE] 'Suspek dakwa rasa tidak tentu arah'

Sampai hati kau, sahabat...

[UPDATE] Suspek positif dadah rupanya...

'Suspek bunuh tiga beradik direman' [METROTV]

[UPDATE] Suspek tiada rekod sakit mental

'30 minit kemudian jeritan terhenti...' [METROTV]

Tragedi 1 Ramadan

Disiarkan pada: May 18, 2018 @ 5:22pm
d