mutakhir

Empat geng curi motosikal tumpas

Oleh Ayusliza Azizan

EMPAT geng curi motosikal yang bergiat aktif di daerah Shah Alam tumpas selepas 39 ahli termasuk seorang perempuan ditahan dalam beberapa siri operasi bermula Mac hingga April lalu.

Dalam serbuan fasa kedua Ops Lejang Khas itu, kumpulan yang ditahan ialah Geng Mat Ropie, Tutuk Jeram, Sayuti dan Bambang dengan ahli berusia 17 hingga 35 tahun yang mempunyai rekod jenayah curi motosikal serta penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, susulan daripada penangkapan ahli geng berkenaan, polis berjaya menyelesaikan 30 kes jenayah membabitkan curi motosikal bagi tempoh dua bulan.

“Polis turut merampas 32 buah motosikal pelbagai model, lima rangka, 12 kulit enjin, beberapa komponen motosikal serta peralatan untuk mengubahsuai nombor pendaftaran enjin dan juga chasis dipercayai dicuri di daerah (Shah Alam) ini dan berhampiran.

“Kita juga berjaya memutihkan dua kawasan yang menjadi tumpuan curi motosikal iaitu di pangsapuri PKNS Seksyen 7 dan Seri Muda,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Baharudin berkata, kesemua kumpulan yang dipercayai aktif sejak setahun lalu dipercayai menjual motosikal pada harga lebih murah antara RM500 hingga RM900 melalui pasaran gelap.

Kebanyakan pembelinya membabitkan warga asing.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 379A, Seksyen 411 dan Seksyen 414 KK Kanun Keseksaan, selain Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil di samping di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Disiarkan pada: May 18, 2018 @ 5:58pm
d