mutakhir

Anwar sakit bahu, jalani fisioterapi

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

BARU tiga hari kembali ke pangkuan keluarga, Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa kembali ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), di Kuala Lumpur hari ini akibat mengalami kesakitan pada bahu.

Anak sulungnya, Nurul Izzah melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan bapanya mengalami kesakitan di bahu dan sedang menjalani pemeriksaan serta rawatan fisioterapi.

“Salam semua. Dia mengalami kesakitan pada bahu dan kini berada di HRC menjalani rawatan fisioterapi,” katanya yang juga Naib Presiden PKR hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut keadaan kesihatan bapanya itu yang hanya menjalani rawatan pesakit luar.

Sejurus dibebaskan kelmarin, Anwar mempunyai jadual agak padat apabila diperkenan mengadap Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V di Istana Negara pada jam 12 tengah hari.

Pada sebelah petangnya, beliau mengadakan sidang media di rumahnya sebelum menyampaikan ceramah umum pertama selepas PH mengambil alih pentadbiran negara daripada pemerintahan Barisan Nasional.

Mengikut rekod Anwar dirawat di HRC selepas menjalani pembedahan bahu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 12 November 2017 akibat kecederaan dialaminya selepas konvoi kereta membawanya dari HKL ke Penjara Sungai Buloh terbabit kemalangan jalan raya pada 22 September 2017.

Disiarkan pada: May 18, 2018 @ 6:27pm
d