mutakhir

USIM menang besar dalam ITEX

Oleh HM Digital

Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merangkul dua pingat emas dan dua gangsa dalam empat penyertaan di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Program anjuran Persatuan Rekabentuk dan Rekacipta Malaysia (MINDS) itu membabitkan 1,000 reka cipta terdiri daripada individu, universiti, badan korporat termasuk 20 penyertaan luar negara antaranya dari China, Jerman, Korea Selatan dan Turki.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM Prof Datuk Dr Roshada Hashim berkata, emas diperoleh menerusi penghasilan Global Faraid Game (GFG) dan Triple Eye Lid: Edible Garden Passive Cooling & Air Filteration System in Suris (EGPCAFSIS).

Katanya, ciptaan itu dihasilkan pasukan diketuai Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Prof Madya Dr Azman Ab Rahman dan Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Ar Fadli Arabi.

“GFG adalah permainan untuk membantu dan memudahkan masyarakat mempelajari ilmu faraid menggunakan konsep gamifikasi dengan kaedah lebih interaktif serta efisyen.

“EGPCAFSIS pula membabitkan tanaman tumbuhan hijau melalui sensor cahaya solar untuk mengurangkan suhu serta mengawal pencemaran udara.

“Produk Bahasa Isyarat Islam (BII Ibadah) dan Gamifikasi Global Arabic Game Dalam Pengajaran dan Pembelajaran (GGAGDPP) yang diketuai Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Dr Nurul Asiah Fasehah Muhamad dan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Dr Nurkhamimi Zainuddin pula mendapat gangsa.

“BII Ibadah adalah alat untuk membantu orang Islam yang pekak mengelakkan mereka menghadapi kekeliruan isyarat terutama dalam aspek ibadah manakala GGAGDPP ialah permainan dalam meningkatkan penguasaan bahasa Arab,” katanya.

Roshada berkata, kejayaan itu membuktikan penghasilan produk kumpulan penyelidik dan inovasi USIM adalah relevan untuk dikomersialkan.

“Pencapaian itu menjadi asas untuk USIM terus bergerak dalam menjadi universiti yang dapat menghasilkan produk pengkomersialan,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2018 @ 6:33am
d