mutakhir

Terlantar serangan kedua

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Seorang warga emas yang uzur tetap tabah menjaga anak lelakinya yang lumpuh sebelah badan selepas diserang angin ahmar.

Mek Ura Chik, 75, mula menjaga anaknya, Fauzi Jusoh, 47, beberapa tahun lalu selepas lelaki itu bercerai dengan bekas isterinya.

Fauzi sebelum itu sudah lima tahun menghidap penyakit berkenaan dan serangan kedua menyebabkan dia terlantar.

“Kali pertama Fauzi diserang angin ahmar selepas dia terjatuh dalam bilik air, tetapi ketika itu tubuhnya boleh digerakkan perlahan.

“Selepas sembuh, dia kembali bekerja sebagai tukang rumah tetapi tidak lama kerana diserang angin ahmar kali kedua yang menyebabkan dia sesak nafas, tidak sedarkan diri dan hampir sebulan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Dia menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala dan sejak itu hanya terlantar dan sebelah kanan tubuhnya lumpuh,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Padang Kala, Melor, di sini.

Menurut Mek Ura, Fauzi hanya boleh menggerakkan tangan kirinya untuk makan dan minum.

Bagi menyara kehidupan mereka dua beranak, warga emas itu bekerja di kedai menjual produk segar berhampiran rumah dengan upah RM25 sehari bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

Dalam tempohnya bekerja, Fauzi akan dijaga cucunya, Siti Afifah Mazalan, 23.

“Jika larat, mak cik akan bekerja lima hari seminggu, tapi upah yang diterima cukup untuk tampung belanja harian dan tidak termasuk keperluan Fauzi yang memerlukan lebih RM350 sebulan.

“Syukur kami terima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan yang digunakan untuk beli lampin pakai buang Fauzi dan keperluan lain,” katanya.

Dia berharap ada pihak sudi membantu menyumbangkan katil khas untuk memudahkan mereka sekeluarga mengurus Fauzi.

Disiarkan pada: May 19, 2018 @ 6:39am
d