mutakhir

200 rumah terjejas akibat banjir kilat

Oleh Azahar Hashim

SEBANYAK 200 kediaman membabitkan 10 buah kampung di Bandar Baharu terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat sejak petang semalam.

Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu Saiful Izham Ramli berkata, setakat awal pagi ini pihaknya menerima laporan hampir 200 rumah dinaiki air sejak 3.50 petang.

Katanya, antara kawasan terbabit ialah di Kampung Relau, Sungai Kechil Illir, Permatang Pasir, Tebuk Mat Rasid, Bandar Baharu, Parit Nibong, Bagan Samak, Permatang Kerat Telunjuk, Teluk Sera dan Ayer Putih.

“Kawasan terjejas teruk ialah Kampung Tebuk Mat Rasid dan pihak kami turut menerima maklumat ada bumbung rumah penduduk di Kampung Bagan Samak turut diterbangkan angin.

“Dalam kejadian banjir kilat ini, tiada penduduk yang dipindahkan kerana difahamkan air surut dengan cepat.

“Malah, Pejabat Penyelaras Parlimen mengambil tindakan segera dengan menghulurkan bantuan awal di beberapa kawasan untuk berbuka puasa, petang semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang Penolong Penguasa Bomba Mohd Faiz Helmi berkata, pihaknya menerima panggilan berlaku banjir kilat di Kampung Teluk Sera pada 3.56 petang semalam.

Menurutnya, sebuah jentera dan sebuah ambulans Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama enam anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Pemeriksaan mendapati dua rumah penduduk kampung dilanda banjir kilat dan tindakan pemantauan dilakukan.

“Bagaimanapun penghuni di dua rumah terbabit pulang ke rumah masing-masing selepas air mulai surut dan operasi tamat pada 6.28 petang (semalam),” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2018 @ 11:06am
d