mutakhir

Misteri bau busuk terjawab

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

MISTERI bau busuk dari sebuah rumah teres setingkat di Jalan Lobak, Seremban terungkai apabila polis menemui mayat wanita terbaring di atas katil bilik tidurnya, semalam.

Difahamkan, bau busuk itu dihidu sejak lima hari lalu sebelum penduduk menyedari ia berpunca dari sebuah rumah yang didiami wanita, 66, seorang diri.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.27 petang dan menghantar sepasukan anggota untuk membuat pemeriksaan.

“Disebabkan rumah itu berkunci, polis terpaksa memanggil bomba untuk membantu membuka pintu rumah. Kami kemudian menemui mayat wanita itu dalam keadaan terbaring di bilik tidurnya.

“Hasil siasatan awal, kita tidak mengesan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Katanya, mayat wanita itu dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohamad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada 2.45 petang.

“Sebuah jentera dengan bantuan ambulans Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota dihantar ke lokasi kejadian,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2018 @ 1:28pm
d