mutakhir

Wanita temui ajal dalam kemalangan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PEMANDU Proton Wira Aeroback maut manakala penumpang hadapannya cedera selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di hadapan Sekolah Kebangsaan Jerlun, Jitra, hari ini.

Dalam kejadian pada 6 pagi, mangsa Nurizawati Suri, 39, yang juga peniaga dari Kampung Pida 6, Ayer Hitam, Jerlun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati lori terbabit memasuki laluan kereta mangsa menyebabkan berlaku pertembungan.

Menurutnya, penumpang hadapan kereta itu dikenali sebagai Abdul Rahman Zakariah, 42, yang juga peniaga kini dirawat di Hospital Jitra (HJ).

Katanya, pemandu lori berusia 24 tahun yang cedera turut dirawat di hospital sama manakala kelindannya, 28, hanya mengalami cedera ringan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik HJ untuk ibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra Pegawai Bomba Kanan II Che Kob Che Dan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.11 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.

Beliau berkata, operasi disertai enam anggota bersama sebuah jentera dan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Jitra.

“Setibanya di tempat kejadian kami dapati pemandu kereta dalam kereta tersepit dan anggota mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkannya dengan menggunakan peralatan hidraulik.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan di tempat kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2018 @ 3:28pm
d