mutakhir

Nyaris rentung dalam tragedi awal pagi

Oleh Ramli Ibrahim

SEPULUH sekeluarga Orang Asli suku kaum Temiar yang sedang nyenyak tidur nyaris rentung apabila rumah tradisional di Pos Belatim, Gua Musang, hangus terbakar, hari ini.

Dalam kejadian pada 3 pagi itu, kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri dengan meredah api yang membakar rumah diperbuat daripada buluh itu.

Mereka, bagaimanapun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa Pandak Busu, 47, berkata ketika kejadian dia bersama isteri Anjoi Along, 43, dan lapan anak mereka berusia antara tiga hingga 20 tahun sedang nyenyak tidur.

Katanya, dia hanya menyedari kebakaran apabila mengalami sesak nafas dan badan terasa panas kerana asap memenuhi dalam rumah selain api marak.

“Saya segera mengejutkan isteri dan anak-anak sebelum bergegas keluar untuk menyelamat diri.

“Kami tidak sempat menyelamat semua barang termasuk pakaian," katanya.

Menurutnya, penduduk kampung datang untuk membantunya apabila melihat api merebak dengan cepat.

Katanya, rumah buluh beratapkan daun bertam itu dibina sejak 10 tahun lalu dan dia sekeluarga bergantung pada sungai untuk mendapatkan sumber air.

“Saya memang rasa terkejut dengan kejadian, tetapi bersyukur kerana anak dan isteri saya terselamat walaupun kami hanya tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2018 @ 5:00pm
d