mutakhir

Kecoh di bazar Ramadan...

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

PENGUNJUNG Bazar Ramadan Jalan Padi Ria, Bandar Baru Uda di Johor Bahru, berdepan situasi cemas apabila sebuah bangunan berhampiran terbakar, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, asap putih yang keluar dari bumbung bangunan tiga tingkat itu mencetuskan keadaan cemas dalam kalangan pengunjung bazar berkenaan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Nordatul Badrul Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.23 petang.

Katanya, sebanyak tiga jentera bersama 13 kekuatan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan itu.

"Kebakaran membabitkan bangunan kedai tiga tingkat dan hanya tingkat tiga bangunan itu sahaja yang musnah hampir keseluruhan.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan pihak bomba menamatkan operasi jam 6.32 petang," katanya.

Nordatul Badrul berkata, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

Susulan kejadian itu, kawasan sekitar bazar berkenaan mengalami kesesakan, bagaimanapun tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.

#kw terbakar, bazar, bomba

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 12:13am
d