mutakhir

Visi Dr Dzulkefly

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Memperkasa perkhidmatan dan keselamatan kesihatan termasuk menangani isu kebajikan dan bebanan kerja dihadapi kakitangan profesional perubatan antara visi utama Menteri Kesihatan baru, Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, pelbagai isu melanda Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu termasuk dasar yang tidak strategik diperkenalkan akan dihapuskan dalam usaha melonjak pencapaian sektor kesihatan di negara ini.

Katanya, beliau berpandangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai perhitungan khas apabila melantik menteri dalam kalangan doktor bagi mengemudi KKM.

“Saya berpendapat pelantikan saya bersifat strategik, iaitu peranan saya untuk mengemudi kementerian ini bagi memperkasa sektor kesihatan dari segi kualiti dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat yang tentunya membabitkan kombinasi awam dan swasta.

“Kita mempunyai ramai kakitangan profesional perubatan berbakat namun kepimpinan tidak dapat menggariskan dasar kepimpinan yang betul hingga menimbulkan banyak masalah termasuk tekanan kerja.

“Masalah ini sedia diketahui umum dan inilah yang akan saya tangani,” katanya, semalam.

Dr Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, buat permulaan, beliau akan menemui kepimpinan tertinggi di KKM.

“Saya akan mengambil masa untuk mendengar penjelasan daripada Ketua Setiausaha KKM dan pengurusan KKM bagi meneliti pandangan dan pembentangan berkaitan kementerian ini.

“Yang penting, saya akan beri tumpuan bagaimana cara untuk melonjak pencapaian dan prestasi KKM di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 5:50am
d