mutakhir

Halal dan thayyib

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Membeli dan memakan juadah disediakan oleh peniaga yang tidak menutup aurat dibolehkan menurut syarak selagi mana ia halal dan thayyib atau baik dalam aspek penyediaan, kebersihan dan juga tempat jualan.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, isu berkenaan kerap timbul terutama ketika Ramadan hingga menimbulkan kegusaran orang Islam.

Katanya, tiada dalil terperinci di dalam al-Quran dan Sunah mengenai larangan membeli dan memakan makanan daripada pelaku maksiat berbanding kewajipan seseorang Islam untuk makan makanan yang halal lagi baik sepanjang kehidupannya di atas muka bumi.

“Banyak dalil syarak daripada al-Quran dan juga Sunah menunjukkan supaya seseorang Muslim memakan makanan yang halal lagi baik.

“Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 169, maksudnya: ‘Wahai sekalian manusia, makanlah kamu dari (hasil) yang terdapat di atas muka bumi (makanan) yang halal lagi baik.’

“Namun, jika seseorang itu atas dasar waraknya dia dalam menjaga keperibadian dirinya dan memilih untuk tidak membeli makanan daripada peniaga yang mendedahkan aurat, ia dibolehkan kepada dirinya tanpa melarang orang lain berbuat begitu bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam catitan terbaru di laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, pandangan itu berdasarkan riwayat Syeikh ‘Ali al-Qari Rahimahullah dalam Mirqaat al-Mafatih, bahawa makanan orang yang bertakwa secara hakikinya adalah halal dan akan memberi kesan dalam melakukan ibadat.

Zulkifli berkata, Imam al-Thabari Rahimahullah dalam tafsirnya Ibn Jarir al-Thabari (3/300) turut memberi definisi thayyib sebagai makanan yang suci dan bersih daripada najis dan aspek haram.

Beliau berkata, walaupun tiada nas syarak menunjukkan secara terperinci hukum membeli dan memakan makanan yang dijual oleh peniaga yang melakukan maksiat termasuk tidak solat dan menutup aurat, panduan asas adalah memastikan ia halal dan baik.

“Saya menyatakan tidak menjadi kesalahan seorang Muslim untuk memakan makanan yang dimasak oleh bukan Islam daripada susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala macam jenis makanan yang lain kecuali sembelihan mereka.

“Ia berdasasarkan tafsir Imam Qatadah Rahimahullah yang diriwayatkan oleh Abd al-Razzaq di dalam Musannaf, bahawa ‘Tidak mengapa (tiada masalah) untuk memakan makanan orang Majusi selain dari sembelihannya.

“Justeru, makanan yang disediakan golongan fasik atau pelaku maksiat juga adalah boleh untuk dimakan selama mana makanan itu halal lagi baik,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 5:57am
d