mutakhir

Semanis buah kabung

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Parit: Walaupun buah kantau atau dikenali juga buah kabung boleh didapati sepanjang musim namun permintaannya yang dijadikan pemanis mulut itu lebih mendapat tumpuan setiap kali Ramadan.

Buah kantau yang rupanya seperti agar-agar itu menjadi tradisi masyarakat daerah Perak Tengah yang hanya dihasilkan setahun sekali.

Pengusahanya, Razuan Talib, 66, berkata, buah kantau atau dalam loghat Perak disebut kantor lazimnya hanya boleh didapati setiap Ramadan kerana permintaannya lebih tinggi berbanding hari biasa.

Katanya, buah itu boleh menyejukkan badan dan sesuai dibuat serbat, halwa dan bubur pengat yang ditambah dengan sagu kecil untuk mendapatkan rasa yang lebih enak.

“Lebih 20 tahun saya menghasilkan buah ini bersama isteri, Rajamah Man, 54, dan setiap kali tiba bulan puasa, saya akan meninggalkan sementara kerja menoreh untuk menyedia dan menjual buah kegemaran ramai ini.

“Sehari kami dapat menghasilkan hingga 15 kilogram buah kantau dan masih menggunakan sukatan gantang dengan menjual pada harga berbeza mengikut runcit dan borong.

“Harga jualan hanya dimaklumkan kepada pembeli saja kerana ia adalah rahsia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tua, Belanja Kiri, di sini.

Razuan berkata, proses penyediaan buah kantau rumit, bermula dengan mengambil buah di pokok yang memerlukan kemahiran tersendiri sebelum ia direbus dan dikopek untuk mendapatkan isinya.

“Buah kantau ini sifatnya gatal dan selepas buah dikeluarkan, ia perlu direndam dan dibersihkan setiap hari bagi mengelakkan buah menjadi masam.

“Pembeli juga perlu membuang ‘mata kecil’ warna putih pada buah sebelum dimakan bagi mengelakkan gatal,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 6:08am
d